Tips SEO percuma dan mudah

Kesukaran perniagaan di internet bermula apabila anda mempunyai laman web sendiri dan perlu mengoptimumkan laman tersebut supaya ianya dijumpai dengan mudah.

Bayangkan alam siber yang sentiasa berkembang luas, laman anda adalah umpama satu butiran pasir kecil yang sukar untuk dikenali. Lebih teruk lagi apabila anda telah mempunyai ramai pesaing dalam pasaran tersebut.

Hanya untuk satu pakej asas, perunding SEO mungkin akan mengenakan bayaran beribu-ribu ringgit sebulan. Bagi pemilik perniagaan yang kecil, kos tersebut adalah pelaburan yang agak berisiko tinggi.

Selain dari fokus setiap hari untuk memahami bagaimana SEO berfungsi, mengikuti rentak dan taktik semasa enjin carian adalah amat penting. Dengan pelbagai kemaskini Penguin dan Panda Google, untuk mendapatkan jualan pada bulan-bulan pertama laman anda bermula adalah agak sukar.

Namun berikut adalah beberapa tips yang sentiasa berguna untuk anda bermula.

Mengoptimumkan tajuk laman anda

Menambahkan tajuk meta pada laman anda adalah perkara paling mudah dan perlu anda lakukan untuk memberitahu enjin carian, "Hi, laman saya paling relevan dengan kata kunci yang anda cari".

Semua pakar SEO akan memberitahu anda mereka perlu mencari semua kata kunci yang yang relevan dengan laman anda sebelum memulakan kerja. Secara jujurnya proses ini boleh anda lakukan sendiri. Jika pasaran atau industri yang anda ceburi adalah khusus, anda mungkin tahu lebih baik kata kunci yang anda perlukan berbanding mana-mana perunding SEO.

Buatlah sedikit kajian dan ketahui apakah kata kunci paling relevan untuk laman anda. Sebagai contoh anda boleh lihat tajuk laman muka pesaing anda. Selain dari itu, fokus pada frasa yang melibatkan tiga hingga empat perkataan merujuk pada satu topik tertentu. Frasa kata kunci yang panjang lebih mudah ditemui, dan mendapat tempat yang baik dalam enjin carian.

Membina pautan secara semulajadi

Setiap orang yang mempunyai laman web pasti pernah mendengar tentang pembinaan pautan. Pada asasnya ia adalah proses mendapatkan laman web lain memberikan pautan semula ke laman anda. Prosesnya bagaimanapun telah berubah secara dramatik untuk tahun kebelakangan ini, sebarang kesilapan dalam pembinaan pautan akan hanya memudaratkan laman anda.

Terbaru, Google telah mengemaskini algoritma untuk mengesan pautan yang luar biasa seperti pautan berbayar tertentu dan teks sauh yang diguna secara berlebihan. Ini boleh menjadi sangat rumit bagi mereka yang baru belajar mengenai SEO, tapi secara asasnya pembinaan pautan tidak boleh dilakukan secara paksa. Ianya perlu berlaku secara organik dan untuk berjaya mendapatkan pautan yang baik bergantung pada isi kandungan yang anda cipta.

Idea yang bagus berkaitan pembinaan pautan secara semulajadi adalah menulis sebagai tetamu di blog yang menarik, melakukan aktiviti di laman media sosial (disamping mendapatkan pengikut), dan melibatkan diri bersama-sama penulis blog yang mempunyai minat yang sama. Laman bertrafik tinggi hanya berpunca dari isi kandungan yang berkualiti, jika tidak pengunjung tidak akan datang selalu. Pastikan topik anda menarik, ianya mungkin dapat memikat penulis blog lain untuk berinteraksi dengan anda.

Kandungan yang mempersonakan

Selain menulis di blog lain, anda perlu menulis isi kandungan yang menarik di laman web anda sendiri. Pada masa lalu, dengan hanya menulis kandungan yang mengarut dengan tatabahasa yang teruk, selagi anda memuatkan semua kata kunci yang anda mahu kedalam kandungan ianya tetap akan mendapat tempat yang baik dalam enjin carian. Tapi masa tersebut telah berlalu, kini mencipta kandungan yang mempersona adalah faktor penentu untuk memastikan laman anda adalah unik dan ditempat teratas.

Dari info grafik, blog video hingga ke kisah inspirasi pastikan anda berada di luar sana. Tulis sesuatu yang berani. Tulis tentang sesuatu yang anda ambil berat. Letakkan imej yang memberikan inspirasi. Buatkan pembaca anda ketawa dan menangis, dekatkan mereka dengan pengalaman yang anda lalui. Ini adalah cadangan terbaik jika anda ingin memulakan perniagaan online yang bermula dari blog harian. Kumpulkan pengikut blog dan bina hubungan dengan mereka terlebih dahulu, kemudian anda boleh masukkan 'shopping cart' ke dalam laman anda.

Sebaik sahaja anda mengaplikasikan ketiga-tiga tips di atas, anda sepatutnya dapat melihat peningkatan trafik, ianya kemudian membentuk minat terhadap produk anda, dan seterusnya berubah menjadi jualan. Apabila jualan anda berkembang, laburkan semula sebahagian keuntungan untuk strategi mengembangkan trafik. Kempen PPC, pemasaran 'affiliate', dan firma perunding SEO adalah antara pilihan yang anda boleh cuba selepas menguasai tips diatas.